Senin, 31 Agustus 2020

Jirim Jisim jauhar

Dalam Ilmu Tauhid:

كُلُّ مَوْجُودٍ سِوَى اللهُ يُسَمَّى عَالَمًا

 “Semua yang مَوْجُودٍ ada (nyata – materi  atau ghaib – halus) selain daripada Allah dinamakan “عَالَمًا Alam’.”

Dalam Ilmu Tauhid alam terdiri dari Jirim (جرم – tiap-tiap benda yang mengambil ruang atau المكانtempat dan menjalani الزمان zaman), jisim, jauhar dan ‘aradh.

Jisim (جسم) adalah Jirim yang berbentuk besar.

Jauhar (جوهر): terbahagi kepada (1) Jauhar Fard  (جوهر فرد) – Jirim yang terkecil yang tidak boleh dibahagi atau dipecah-pecahkan dan (2) Jauhar Murakkab (جوهر مركب) – susunan jauhar (paling minimanya dua jauhar fard/firid) untuk membentuk satu entiti jirim.

‘Aradh (عرض): Keadaan atau hal atau ibarat yang menyifati jirim/jisim/jauhar. Contohnya warna, terang, gelap, rasa, bentuk, berat, mentah, masak, buruk, jatuh, hancur pada buah semuanya adalah aradh. Bila tiada buah (jisim) tiadalah aradh seperti sifat warna, rasa, mentah, masak dan sebagainya seperti yang  telah tersebut.

‘Aradh tidak berpisah (berdiri sendiri) dari jisim kerana ‘aradh adalah sifat dan jisim adalah mausuf. Tiada mausuf (yang disifati) maka tiadalah sifat. Mustahil pada hukum akal adanya sifat tanpa mausuf. Maka ‘aradh tidak berpindah dari satu jirim ke jirim yang lain kerana ia sifat yang tidak berdiri sendiri.  Masing-masing ‘aradh tetap pada jisimnya masing-masing.

Dan jisim pula tidak menerima dua sifat ‘aradh yang berlawanan pada dirinya seperti bergerak dan diamnya jisim itu pada satu masa yang sama. Hal yang demikian itu mustahil pada hukum akal. Tidak pula diam bersembunyi dalam gerak apabila berlaku diam, demikian juga sebaliknya kerana semua itu mustahil pada hukum akal.

Dan jisim itu tidak sedia ada kerana kalau ia sedia ada ia tidak binasa sedang pada musyahadah (kesaksiannya) ia tidak sedia ada dan ia binasa. Dan mustahil pula pada hukum akal jisim itu menjadikan dirinya sendiri “ada” kerana sangat tidak logisnya sesuatu yang tidak ada dapat menjadikan dirinya ada!

Oleh yang demikian pantaslah jisim/jirim (benda), ruh (jisim halus) memerlukan Zat untuk menjadikannya ada. Dan setiap yang dijadikan dinamakan baru (hadits) dan yang menjadikan Muhdits.

Kemudian masing-masing jirim, jisim, jauhar dan ‘aradh adalah شَيْءٌ sesuatu dari عَالَمًا alam.

Dan Allah adalah Pencipta dan Pemelihara sekalian ٱلۡعَـٰلَمِين alam.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

  فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الأنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ لَيْسَ كَمِثْـلِهِ شَيْءوَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ(سورة الشورى: ٤٢١١)ٌ 

“(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan-pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada شَيْءٌsesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”(Surah Asy-Syura: 42: 11)

(سُوۡرَةُ القَصَص: ٨٨:٢٨) وَلَا تَدۡعُ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ‌ۘ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ‌ۚ كُلُّ شَىۡءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجۡهَهُ ۥ‌ۚ لَهُ ٱلۡحُكۡمُ وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ

“Janganlah kamu sembah di samping (menyembah) Allah, tuhan apa pun yang lain. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Tiap-tiap شَىۡءٍ sesuatu pastibinasa, kecuali Allah. Bagi-Nyalah segala penentuan, dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.” (Surah Al-Qasas: 28: 88)

ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لا إِلَهَ إِلا هُوَ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ فَاعْبُدُوهُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ (سُوۡرَةُ الاٴنعَام ١٠٢:٦)

“Yang (memiliki sifat-sifat yang) demikian itu ialah Allah Tuhan kamu, tidak ada Tuhan selain Dia; Pencipta segala شَيْءٍ sesuatu, maka sembahlah Dia; dan Dia adalah Pemelihara segala شَيْءٍsesuatu.” (Surah al-An’am: 6: 102)

Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin bab قواعد العقائدفي ترجمة عقيدة اهل السنة  في كلمتي الشهادة merumuskan:

وأنه ليس بجسم مصور ولا جوهر محدود مقدر وانه لا يماثل الاجسام لا في التقدير ولا في قبول الانقسام وأنه ليس بجوهر ولا تحله الجواهر ولا بعرض ولا تحله الاعراض  بل لا يماثل موجودا ولا يماثله موجود (ليس كمثله شئ ) ولا هو مثل شئ

“Dan sesungguhnya Dia bukan jisim sehingga terrajah dan bukan pula jauhar terhad terbatas, tidak pula Dia seperti jisim baik dalam ibarat maupun pembahagian, tidak juga Dia jauhar dan terbentuk dari jauhar, dan tidak pula Dia ‘aradh atau tersembunyi dalam ‘aradh.  Bahkan Dia tidak menyerupai maujud (wujud-wujud yang ada) dan tidak menyerupaiNya wujud (yang ada) (tiada menyerupaiNya sesuatu) dan Dia bukan sesuatu!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Catatan: Hanya anggota dari blog ini yang dapat mengirim komentar.